Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Aspirasi Sdn. Bhd., Hisham Ahmad berkata, kediaman terancang dengan reka bentuk terkini itu dibina di kawasan strategik yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk memudahkan pembeli.

“Projek ini melibatkan tiga fasa iaitu 235 kediaman bagi fasa pertama diikuti 566 bagi fasa kedua serta 178 unit rumah untuk fasa ketiga.

 

“Lokasinya strategik kerana terletak berhadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka malah kurang daripada 20 minit untuk ke Bandar Melaka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, kediaman itu juga mendapat sambutan menggalakkan kerana menawarkan harga mampu milik malah berjaya disiapkan sebelum tarikh jangkaan.

“Bagi fasa pertama dan kedua perumahan ini habis terjual dan juga masih mengekalkan rekod berjaya disiapkan awal daripada tarikh sebenar.

“Fasa ketiga pula kediaman rumah banglo satu tingkat dan rumah berkembar dua tingkat dijual pada harga bermula RM580,000.00,” katanya.

Tambah Hisham, fasa 3 projek ini mula dibangunkan pada Julai 2017 dan Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) telah diperoleh pada 31 Disember tahun lalu awal daripada tarikh sebenar iaitu Julai ini.

“Dalam masa sama pihak kami telah melancarkan 202 perumahan mampu milik Resi­densi Lanar di Mantau, Negeri Sembilan.

“Kediaman ini dijual de­ngan harga bermula kira-kira RM233,000 dan terletak dalam lingkungan Malaysia Vision Valley (MVV) yang mana sesuai didiami pembeli yang be­kerja di sekitar Seremban, Nilai, KLIA, Kajang, Putrajaya serta Kuala Lumpur,” katanya.

Hisham menambah, konsep binaan kontemporari menjadi pilihan ramai terutama golo­ngan muda yang gemarkan gaya hidup moden dan elegan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Seri Ahmad Azizi Ali memberitahu, SPNB ditubuhkan pada tahun 1997 dengan objektif utama untuk menyediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.

Dalam tempoh itu juga, SPNB telah memainkan pelbagai peranan lain terma­suk sebagai agensi pelaksana pemulihan projek perumahan terbengkalai, kontraktor reka­bina untuk membangunkan 6,550 perumahan anggota tentera dan kakitangan awam serta agensi pelaksana penempatan semula mangsa banjir dan tsunami.

Setelah lebih 21 tahun penubuhannya, SPNB masih kekal dengan objektif sama tetapi kini meliputi ruang yang lebih luas kerana keperluan rumah yang selesa dan mampu dimiliki dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kumpulan SPNB setakat ini telah me­nyiapkan 102,079 unit rumah dalam pelbagai ka­tegori manakala sebanyak 9,952 unit lagi Rumah Mampu Milik dalam proses pembinaan,” kata­nya lagi.